Sejarah membuktikan Alam Melayu dan Nusantara kaya dengan tokoh-tokoh ulamanya yang suatu masa dahulu berperanan besar dalam menyebar dan mengembangkan Islam. Ini dapat dilihat melalui kewujudan sistem pendidikan pondok, penghasilan kitab-kitab agama, karya-karya pemikiran dan juga pelbagai khazanah warisan yang telah ditinggalkan.
Ketinggian ilmu dan pemikiran mereka telah berjaya membebaskan masyarakat dari belenggu kejahilan dan pengaruh penjajahan. Mereka juga berjaya melahirkan masyarakat yang mempunyai pegangan agama yang kukuh dan memiliki nilai-nilai murni dalam aspek sosial tanpa mengabaikan kemajuan duniawi. Syeikh Abdus Shamad al-Falimbani, Syeikh Ahmad al-Fathani, Syeikh Muhammad Said al-Linggi, Tok Pulau Manis, Tok Kenali dan Tokku Paloh adalah antara beberapa nama tokoh ulama Alam Melayu yang telah memberikan sumbangan besar terhadap pembangunan ilmu dan tamadun Islam di Nusantara dan Tanah Melayu.
Atas kesedaran peri pentingnya memelihara khazanah yang ditinggalkan itu, pihak Khazanah Ilmu Darul Iman (KIDI) mengambil inisiatif untuk mewujudkan sebuah Pusat Pengumpulan Maklumat dan Ilmu Ulama Melayu yang dinamakan Pusat Khazanah Ulama Syeikh Abdul Malik (Tok Pulau Manis) yang sedang didirikan di Kampung Pulau Manis, Kuala Terengganu.
No comments:
Post a Comment